Apa itu dividen? Anda mungkin pernah mendengar tentang perkataan ini, tapi apakah maksudnya? Di dalam artikel yang menumpukan kepada asas pelaburan ini, akan kami kongsikan segalanya yang anda perlu tahu tentang dividen sebagai seorang pelabur.

Maksud Dividen

Secara mudahnya, maksud dividen adalah sebahagian keuntungan yang dibayar kepada pemegang saham hasil pendapatan yang dijana oleh sesebuah badan mahupun syarikat. Anda pasti biasa mendengar tentang dividen yang dibayar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mahupun Amanah Saham Berhad (ASB). Namun, bagaimana pula dengan dividen daripada saham?

Jenis-Jenis Dividen

Terdapat beberapa jenis dividen, iaitu:

  1. Dividen interim: Bayaran dividen yang diberi dalam jangka masa pendek di dalam satu-satu tahun kewangan (financial year). Ada syarikat yang membayar dividen interim dalam tempoh setiap 3 bulan, mahupun 6 bulan sekali.
  2. Dividen akhir: Dividen yang diisytihar dan dibayar setahun sekali selepas penyata kewangan syarikat dikeluarkan.
  3. Dividen istimewa (Special Dividend): Dividen yang dibayar secara tiba-tiba, lazimnya apabila syarikat mendapat keuntungan luar biasa dan ingin memberikan sebahagian daripada pulangan kepada pelabur mereka.

Cara pengiraan dividen

Dividen dibayar berdasarkan per unit saham. Untuk mengira jangkaan pembayaran anda, darabkan amaun dividen yang diumum syarikat dengan jumlah saham yang anda miliki.

Contohnya, jika anda memiliki 100 unit saham dalam syarikat yang akan membayar dividen RM 0.90 sesaham, anda akan menerima pembayaran dividen sebanyak RM 90.

Bila Bayaran Dividen Dibuat

Ianya bergantung kepada polisi syarikat. Tempoh yang biasa dipraktikkan adalah suku tahunan atau tahunan.

Nota: Untuk melayakkan seseorang pemegang saham mendapat dividen, mereka haruslah memegang saham sesebuah syarikat tersebut sekurang-kurangnya pada tarikh rekod yang diumumkan syarikat. (Sebagai contoh, Syarikat ABC mengumumkan mana-mana individu yang memegang saham syarikatnya sehingga 30 Jun 2021 akan mendapat bayaran dividen).

Kekerapan Bayaran Dibuat

Kekerapan bayaran dividen ditentukan oleh pihak pengurusan syarikat. Sebilangan besar syarikat membayar dividen setiap suku tahun. Tetapi, ada juga syarikat yang memilih untuk membayar bulanan, tahunan, atau bahkan setiap setengah tahun. Anda boleh menyemak halaman Investor Relation (hubungan pelabur) syarikat untuk mengetahui bila ia akan membayar dividen.

Atau, anda boleh klik di sini untuk mengetahui cara semak kekerapan bayaran dividen saham.

Bagaimana Pelabur Saham boleh Mendapatkan Pulangan Dividen?

Menjana wang dari saham yang membayar dividen adalah salah satu asas pelaburan yang baik. Tetapi anda perlu mengetahui apa itu dividen dan bagaimana ia berfungsi sekiranya anda ingin memanfaatkannya. Ketahui bagaimana saham seperti ini dapat menambah aliran pendapatan pasif ke akaun anda.

Dalam pelbagai saham syarikat yang dimiliki oleh pelabur saham terkaya dunia, Warren Buffett, terdapat banyak saham dalam portfolionya yang membayar dividen. Seiring dengan peningkatan penjualan dan keuntungan syarikat, pendapatan dividen juga berpotensi untuk meningkat kerana ia tidak ditentukan oleh perubahan harga saham mereka.

Adakah Semua Syarikat Membayar Dividen Kepada Pelabur?

Tidak semestinya. Pihak pengurusan syarikat akan menetapkan sama ada bayaran dividen akan dibuat atau tidak, bergantung kepada beberapa faktor seperti polisi, pelan perniagaan, dan prestasi semasa syarikat.

Bagaimana Pembayaran Dividen ditentukan?

Syarikat selalunya akan menentukan pemberian dividen setelah mereka memperoleh keuntungan. Mereka menggunakan sebahagian daripada keuntungan tersebut untuk membayar wang kepada pelaburnya.

Lembaga pengarah akan bermesyuarat bersama pihak Pengurusan dan akan mencadangkan berapa peratusan keuntungan yang harus disisihkan untuk pertumbuhan dan pembayaran dividen.

Selain daripada itu, lembaga pengarah juga mempertimbangkan berapa banyak keuntungan yang harus digunakan untuk membayar hutang dan berapa banyak yang harus digunakan untuk membeli balik saham (“share buyback“).

Syarikat Pertumbuhan Jarang Bayar Dividen

Biasanya, syarikat yang sedang berkembang tidak akan membayar dividen, ataupun jika bayaran dibuat, jumlahnya adalah lebih rendah. Hal ini kerana keuntungan akan digunakan semula bagi tujuan mengembangkan perniagaan, inovasi & penyelidikan, dan sebagainya.

Sebaliknya, jika sesebuah syarikat tidak lagi boleh berkembang (oleh kerana industri atau jenis perniagaan mereka yang telah matang), atau mempunyai keuntungan yang cukup banyak, maka dividen biasanya akan dibayar.

Selain itu, industri sesebuah syarikat juga boleh memainkan peranan. Sebagai contoh, syarikat telekomunikasi, utiliti, dan amanah pelaburan hartanah (Real Estate Investment Trust atau “REIT”) biasanya membayar dividen yang tinggi. Manakala, syarikat teknologi (e-dagang, biotek) akan membayar lebih rendah, atau kadang-kadang tidak membayar dividen langsung.

Adakah Dividen Tertakluk Kepada Cukai?

Ssecara amnya, dividen akan tertakluk kepada cukai pendapatan di Malaysia. Tetapi, menurut laman web LHDN, terdapat beberapa pengecualian, iaitu:

  1. Dividen yang diterima daripada syarikat yang mengagihkan dividen daripada pendapatan syarikat yang dikecualikan daripada cukai (terpakai untuk kes dividen saham).
  2. Dividen yang diterima daripada syarikat kerjasama (koperasi).
  3. Dividen yang diterima daripada amanah saham yang diluluskan oleh Menteri Kewangan, seperti dividen Amanah Saham Bumiputera.
  4. Dividen yang diterima daripada unit amanah yang diluluskan oleh Menteri Kewangan yang melaburkan 90% atau lebih daripada unit amanah tersebut dalam sekuriti kerajaan.

*Harus diingatkan bahawa ini adalah maklumat am semata-mata. Sila rujuk laman web LHDN atau mana-mana pakar perunding percukaian (tax consultant) untuk khidmat nasihat & maklumat yang terkini dan lebih tepat.

Bagaimana Cara Mendapat Pendapatan Dividen?

Untuk mendapat pendapatan pasif melalui pelaburan saham, pelabur boleh melabur ke dalam syarikat yang cenderung memberikan pembayaran dividen secara konsisten setiap tahun.

Pelabur dapat melihat jumlah dividen yang dibayar kepada para pelabur melalui bahagian Cash Flow from Financing Activities (Aliran Tunai daripada Aktiviti Pembiayaan) daripada Penyata Aliran Tunai syarikat. Ia adalah salah satu komponen dalam Penyata Kewangan di dalam Laporan Tahunan Syarikat (Annual Report).

Penyata aliran tunai menunjukkan berapa banyak wang masuk atau keluar dari syarikat. Sekiranya dividen dibayar, ia akan disenaraikan sebagai penggunaan wang tunai untuk membayar pelabur dalam tempoh tersebut.
Pelabur akan dapati pendapatan dividen akan disalurkan ke dalam akaun simpanannya selagi pelabur membeli dan masih memiliki saham tersebut.

Kesimpulan

Secara umumnya, jika anda mahukan saham yang membayar dividen secara konsisten untuk tempoh jangka panjang, anda harus melihat syarikat yang berkembang pertumbuhannya dan lebih mampan.

Peringatan: Ketahuilah bahawa memilih syarikat dengan banyak hutang dan penurunan jualan selalunya menjadi risiko yang lebih besar, tidak kira berapa besar pemberian dividennya.

Jika anda berminat untuk belajar lebih lanjut tentang pelaburan pasif melalui dividen, ada juga beberapa cara lain boleh anda pelajari. Silalah klik di sini untuk mendaftar supaya anda dapat belajar saham bersama-sama!